BERITA HARIAN – Laporan NTP: Prestasi pendidikan ditambah baik

KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti menerusi Program Transformasi Negara (NTP) menyaksikan peningkatan kadar literasi dan numerasi kebangsaan dalam kalangan murid Tahun Tiga, tahun lalu.

 

Literasi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ketika ini masing-masing berada pada kadar 98.3 dan 95.7 peratus, manakala kadar numerasi berada pada tahap 98.8 peratus.

Bagi sektor pendidikan, petunjuk prestasi utama (KPI) bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mencatat 102 peratus, manakala Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pada kadar 114 peratus.

 

Laporan NTP 2017 turut merekodkan kadar enrolmen nasional untuk penjagaan kanak-kanak meningkat daripada empat peratus pada 2010 kepada 6.92 peratus tahun lalu.

 

Kadar enrolmen nasional untuk prasekolah meningkat daripada 72.4 peratus pada 2010 kepada 84.26 peratus.

 

Bagi kanak-kanak berusia empat tahun, kadar enrolmen adalah 77.8 peratus membabitkan 413,782 orang, manakala 471,201 kanak-kanak atau 90.89 peratus berusia lima tahun.

 

Dalam konteks meningkatkan daya saing murid melalui Program Dwibahasa (DLP), sebanyak 1,214 sekolah membabitkan 129,859 pelajar melaksanakan program berkenaan.

 

DLP berjaya meningkatkan skor mata pelajaran Bahasa Inggeris sebanyak 36.4 peratus dalam kalangan murid sekolah rendah, manakala 46.4 peratus pelajar sekolah menengah untuk peperiksaan akhir tahun subjek berkenaan.

 

Sementara itu, program 1BestariNet berupaya melengkapi sekolah dengan Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) dengan menggunakan internet.

 

Program itu menyediakan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pentadbiran bersepadu dan seramai 865,738 pelajar menggunakan VLE sekurang-kurangnya satu sesi setiap minggu.

Dalam usaha menjadi Malaysia sebagai hab pendidikan global, ketika ini ada 11 kampus cawangan universiti bertaraf dunia merangkumi Nottingham University, Reading University, Xiamen University, Heriot-Watt University, Curtin University, Monash University, Raflles University, Asia School of Business, University of Southampton, Newcastle University of Medicine dan Swinburne University of Technology.

 

Dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju global pendidikan antarabangsa, negara kini menjadi destinasi pilihan dengan lebih 170,068 pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di pelbagai institusi pendidikan negara tahun lalu.

 

Daripada jumlah itu, 136,293 pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, manakala 33,031 pelajar di sekolah dan pusat bahasa serta 744 pelajar di institusi teknikal dan vokasional.

 

Dalam pada itu, bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar, kerajaan mempertingkatkan dan menambah baik kualiti institusi latihan kemahiran swasta dengan pantas.

 

Untuk itu, seramai 8,380 pelajar dilatih melalui pendekatan berasaskan industri untuk memastikan pelajar bersedia memasuki pasaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Posted in Press Mentions.