BERITA HARIAN – Pembelajaran abad ke-21 mudahkan pelajar, guru

KUALA LUMPUR: Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) ternyata memberi banyak kelebihan dan kemudahan kepada guru, pelajar dan ibu bapa sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Guru, Saifulnizan Ismail, 35, berkata teknologi melalui Frog VLE ini lebih sistematik dan interaktif untuk menarik perhatian pelajar memahami subjek tertentu.

Katanya, bukan itu saja, kaedah itu juga menyuburkan minat pelajar untuk mengetahui lebih lanjut, memberi pemahaman dan seterusnya memudahkan ibu bapa untuk memantau apa yang di sedang dipelajari anak masing-masing.

“Menerusi projek 1BestariNet, semuanya lebih mudah, menarik dan pada masa sama pelajar tidak dibebani dengan buku teks dan sebagainya kerana mereka belajar menerusi alam maya.

“Guru-guru juga mudah kerana boleh memantau latihan diberikan di mana-mana saja. Terima kasih kepada Yayasan YTL dan anak syarikatnya, FrogAsia Sdn Bhd kerana menyediakan akses ini untuk semua yang terbabit,” katanya ketika berkongsi pengalaman menggunakan teknologi itu pada persidangan FrogAsia Leaps of Knowledge 2018, di sini, hari ini.

Bagi Pengetua Sekolah Menengah St Peter Telipok, Kota Kinabalu, Jackson Siga, Frog VLE memberi kelebihan dalam membantu kemahiran teknologi maklumat kepada pelajar luar bandar.

Katanya, selain itu ia memudahkan guru untuk mendapatkan bahan berikutan platform ini selamat dan sistematik digunakan oleh semua yang terbabit.

“Menerusi kaedah pembelajaran ini, kami dapat meningkatkan misi kemahiran 4C iaitu kolaboratif, komunikasi, kerjasama dan pemikiran kritis, malah ia boleh diguna pakai di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah Taman Kepong, Wen Beng Heng, 48, berkata kekangan jumlah komputer di sekolah dengan lebihan pelajar yang menggunakan Frog VLE sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran.

“Namun, pelajar berjaya memanfaatkan kemudahan ini menerusi telefon pintar masing-masing. Guru juga mempunyai aplikasi di telefon dan mereka boleh memantau latihan diberikan,” katanya.

Posted in Press Mentions, Press Mentions.