BERITA HARIAN – Terengganu juara VLE 2018

MAIMUNAH (tengah) menyampaikan sijil kepada penerima anugerah Guru Advokasi Emas, Zurinawati Hamzah dari SMKA Wataniah Besut (kanan) di Terengganu Equestrian Resort. – Foto Rozainah Zakaria

KUALA TERENGGANU: Terengganu terus melakar kejayaan membanggakan dalam bidang pendidikan apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE) peringkat kebangsaan 2018.

 

Anugerah itu diberikan kepada Terengganu susulan kejayaan negeri ini mengungguli penggunaan VLE sebagai satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan, Datuk Maimunah Suhaibul, berkata, pencapaian Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) Terengganu dalam penggunaan VLE meningkat kepada 90.34 peratus pada 2018, berbanding 18.23 peratus pada 2017.

 

“Prestasi cemerlang Terengganu dalam penggunaan VLE sangat membanggakan dan kementerian menghargai komitmen Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dalam merancakkan penggunaan VLE sebagai satu platform pendidikan untuk murid dan pelajar di negeri ini.

 

“VLE adalah platform dalam talian yang mana guru boleh meletakkan bahan, kreativiti dan inovasi mereka dalam satu platform untuk dikongsi bersama guru dan murid serta pelajar,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Apresiasi Guru Advokasi VLE di sini, hari ini.

 

Turut hadir Pengarah JPNT, Shafruddin Ali Hussin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan negeri, Wan Mohd Zuhaidi Wan Hassan dan Pengarah Pemasaran YTL Communications Sdn Bhd, Shahirul Ismail.

 

Sementara itu, penerima Anugerah Guru Ikon VLE Terengganu 2018, Nor Azlina Abdul Muttlib, 41, berkata, VLE terbukti memudahkan lagi akses kepada pembelajaran yang lebih berkesan terutama sekiranya terpaksa menghadiri tugasan atau kursus di luar.

 

Guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar, Dungun itu, berkata, walaupun pada awalnya berdepan kesukaran untuk menggunakan VLE dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, ia sebenarnya sangat mudah apabila guru sudah menguasai tekniknya.

 

“Memang diakui ketika mula didedahkan dengan VLE, ramai guru tidak tahu kaedah menggunakannya.

 

“Selepas menghadiri kursus barulah ia jelas dan selepas digunakan ternyata ia sangat memudahkan dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih menarik dan mudah difahami murid dan pelajar,” katanya.

 

Frog VLE diperkenalkan kementerian pada 2011 di bawah Projek 1BestariNet dengan kerjasama YTL Communications selaku penyedia internet 4G tanpa wayar berkelajuan tinggi berserta Frog VLE yang efektif ke semua sekolah di seluruh Malaysia.

Posted in Press Mentions, Press Mentions.