BERNAMA – JPNT raih Anugerah Penggunaan VLE Terbaik Negeri Peringkat Kebangsaan 2018

KUALA TERENGGANU, 23 April (Bernama) — Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) terus melakar kecemerlangan dalam pendidikan negara apabila meraih Anugerah Penggunaan Persekitaran Pembelajaran Virtual (VLE) Terbaik Negeri Peringkat Kebangsaan 2018.

Pengarah JPNT Shafruddin Ali Hussein berkata anugerah itu adalah suntikan motivasi untuk semua guru di Terengganu untuk terus membudayakan penggunaan VLE bagi pembelajaran dalam kelas.

“Tugas guru tidak sekadar menyampaikan ilmu kepada murid, namun guru juga bertanggungjawab dalam melahirkan murid yang berkemahiran dan berfikiran aras tinggi yang ia mesti dilakukan dalam keadaan yang menyeronokkan.
“Semua ini boleh dicapai melalui penggunaan VLE sebagai platform tepat yang lebih canggih seiring perkembangan teknologi dunia berbanding kaedah pembelajaran secara konvensional pada masa lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Apresiasi Guru Advokasi VLE negeri Terengganu yang dirasmikan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan, Datuk Maimunah Suhaibul di sini, hari ini.

Program VLE diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan pada 2011 di bawah Projek 1BestariNet dengan kerjasama YTL Communications yang menyediakan Internet 4G tanpa wayar berkelajuan tinggi yang efektif ke semua sekolah di seluruh negara.

Ia adalah sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

Melalui sistem dikenali sebagai Frog VLE itu, guru dapat memberi tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara pelajar dapat menghantar tugasan dan menyemak markah menerusi sistem sama.

Posted in Press Mentions, Press Mentions.