BULETIN MUTIARA – Tingkatkan mutu pendidikan menerusi pembelajaran tanpa sempadan – Kon Yeow

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang komited untuk saling bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dalam memastikan kemajuan teknologi pendidikan abad ke-21 melimpah ke sekolah-sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

 

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu, pihaknya berharap platform pengajian dan pembelajaran tanpa sempadan dalam era digital kini dapat terus dipacu, melalui Frog Virtual Learning Environment (VLE).

 

“Saya berharap semua sekolah, pelajar dan guru-guru di negeri Pulau Pinang ini dapat memanfaatkan teknologi dalam pendidikan melalui platform Frog VLE untuk mencapai kemajuan sebanyak yang boleh.

 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami juga akan menumpukan usaha untuk menyokong Jabatan Pendidikan Negeri dalam inisiatif mereka bagi memastikan semua sekolah di Malaysia terutamanya di Pulau Pinang menikmati manfaat daripada kemajuan abad ke-21 ini.

 

“Saya yakin pelajar, guru-guru dan ibu bapa di negeri kita ini amat komited dalam memastikan bahan teknologi pendidikan abad ke-21 dapat dimanfaatkan di semua peringkat umur,” jelas Kon Yeow dalam Majlis Perasmian Penutup Persidangan KLEAPS Peringkat Negeri di Kompleks Perdana Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Pulau Pinang dekat Parlimen Permatang Pauh pada 22 September 2018.

 

Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang memberitahu, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 gigih menggalakkan anak-anak negeri menguasai STEM atau mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, termasuklah menubuhkan Penang Science Cluster (PSC), Tech Dome Penang (TDP), Penang Math Platform dan Penang Digital Library (PDL), antara lain demi menyemarakkan perkembangan dunia pendidikan di peringkat sekolah dengan elemen ekonomi digital.

 

Dalam perkembangan lain, katanya lagi, baru-baru ini Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk mewujudkan satu lagi portfolio baru iaitu Transformasi Digital demi memastikan Pulau Pinang bersedia menghadapi cabaran teknologi yang berkembang pesat pada era Revolusi Perindustrian 4.0, kini.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar & Video: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Posted in Press Mentions, Press Mentions.