GPS BESTARI – Perkaitan antara E-Learning, Online Learning, VLE dan LMS

Perkaitan antara E-Learning, Online Learning, VLE dan LMS

 

PERKAITAN antara E-Pembelajaran (E-Learning), Pembelajaran atas Talian (Online Learning), Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) dan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS).

 

Ketika dunia sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, bidang pendidikan turut terkesan daripada wabak ini.

 

Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang menutup premis institusi pengajian daripada peringkat prasekolah sehingga peringkat tertiari memberi peluang kepada guru-guru untuk meneroka platform pembelajaran mod jarak jauh yang bertujuan untuk memastikan murid-murid tidak terleka dan terlupa terhadap pembelajaran ketika ini.

 

Seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengimplementasikan pendidikan digital mendapat sambutan positif. Perkara ini dilihat dengan wujudnya platform seperti CikgooTube yang membolehkan guru-guru matapelajaran memuatnaik video pengajaran mereka dihalaman tersebut.
Disamping itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor turut menwujudkan Guru Sukarelawan Digital yang menghimpunkan sukarelawan daripada kalangan guru untuk melaksanakan pengajaran secara maya.

 

Walaubagaimanapun, masih ada persoalan yang timbul dalam pelaksanaan inisiatif ini. Adakah ini merupakan e-pembelajaran? Adakah ini pembelajaran atas talian?

 

Bagaimana pula dengan persekitaran pembelajaran maya (VLE)? Dari mana pula munculnya istilah sistem pengurusan pendidikan (LMS)?

 

Guru-guru sudah pasti kenal dengan VLE Frog yang dilaksanakan pada tahun 2012 bertujuan untuk meningkatkan mutu pengajaran guru kepada murid sepertimana yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) (KPM,2013).

 

Pada asasnya pendidikan digital ini adalah e-pembelajaran (e-learning) yang turut dikenali sebagai pembelajaran atas talian (Online Learning).
E-pembelajaran bermaksud pembelajaran yang dilaksanakan secara atas talian menggunakan perkakasan digital seperti komputer, komputer riba, telefon bimbit dan sebagainya (Allen&Seaman,2010).

 

Pada hari ini, telefon bimbit dan talian internet secara prabayar atau pasca bayar mudah diperolehi oleh setiap keluarga. Perkara ini membolehkan murid mempelajari dan meneroka sesuatu maklumat secara terbuka dan meluas.

 

Perkara ini dilihat sebagai ‘Bahaya Moral’ atau ‘Moral Hazard’ jika murid memperolehi maklumat tanpa dipandu.

 

Bagi memastikan murid sentiasa dalam persekitaran pembelajaran, sekolah merupakan tempat belajar yang paling sesuai untuk mewujudkan persekitaran tersebut.

 

Begitu juga dengan e-pembelajaran yang memerlukan ‘tempat’ atau persekitaran belajar kepada murid bagi tujuan penyebaran pengetahuan.

 

Hal ini membawa kita kepoada persekitaran pembelajaran maya (VLE) yang merupakan platform untuk menyampaikan bahan pengajaran, komunkasi , pentaksiran dan pengurusan kursus (Alhogail & Mirza,2011).
Platform seperti VLE Frog dan Google Classroom adalah contoh ruangan yang disediakan oleh pihak KPM bagi menghubungkan guru dengan murid untuk pengajaran dan pembelajaran yang lebih berpandu.

 

Internet dan perkakasan digital sebagai asas dan VLE sebagai platform, kita perlu merancang penyampaian yang lebih sistematik. Penyampian bersistematik bertujuan untuk mamastikan pengetahuan diterima oleh murid lebih berkesan dan efektif.

 

Perkara ini membawa kita kepada sistem pengurusan pembelajaran (LMS) sebagai teknologi berasaskan web yang digunakan untuk merancang, melaksana dan mengakses proses pembelajaran dengan lebih spesifik (Alias & Mirza, 2005).

 

Melalui LMS, guru dapat mengimpunkan kepelbagaian teknologi atau pelbagai halaman web dan aplikasi dalam satu ruangan khas mengikut subjek.

 

Dalam membangunkan LMS, guru perlu memastikan perancangan dan pelaksanaannya mengikut keperluan murid khususnya dari aspek penggunaan teknologi.

 

Berdasarkan daripada istitlah-istilah tersebut, dapat disimpulkan bahawa ketiga-tiga perkara adalah saling berkait anatara satu sama lain.

 

Dalam menyampikan pengetahuan yang lebih efektif dan tersusun, pembangunan LMS perlu disusun mengikut keperluan murid dan kurikulum.

 

LMS yang disediakan memerlukan sebuah platform yang disokong oleh perkakas digital dan talian internet.

 

Perbezaan maksud dalam setiap istilah bukan bermaksud pengasingan tetapi ia sebagai sebuah perkaitan yang memberi impak kepada dunia pendidikan di Malaysia.

 

Persoalannya, adakah kita masih keliru? Ayuh teruskan meneroka.

 

Bibliografi

Allen, I. E., & Seaman, J. (2010). Learning on demand: Online education in the United States. Retrieved December 31, 2013, from http://sloanconsortium.org/publications/survey/ pdf/learningondemand.pdf

Alhogail, Areej & Mirza, A.A.. (2011). Implementing a virtual learning environment (VLE) in a higher education institution: A change management approach. Journal of Theoretical and Applied Information Technology. 31. 42-52.

Alias, N. A., & Zainuddin, A. M. (2005). Innovation for better teaching and learning: Adopting the learning management system. Malaysian online journal of instructional technology, 2(2), 27-40.

 

Oleh:

Muhammad Sabiq Mohd Noor,

Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pembelajaran Digital

Daerah Pasir Gudang, Johor.

Posted in Press Mentions, Press Mentions.