GPS BESTARI – RAI PELAJAR, GURU DAN GURU BESAR

Rai pelajar, guru dan guru besar

Penerima anugerah menerima hadiah daripada Tajul Urus.

ALOR SETAR – Seramai 74 pelajar, guru dan guru besar dari 19 sekolah rendah dan menengah diraikan dalam Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah peringkat Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bujang, Daerah Kuala Muda, baru-baru ini.

Majlis julung kali diadakan di peringkat Kedah itu untuk mengiktiraf kejayaan dicapai guru dan pelajar dalam PKG Bujang.

Pengarah program, Mohamad Shukri Baharom berkata, pengiktirafan diberikan sebagai tanda penghargaan kepada semua guru dan pelajar untuk menunjukkan komitmen, minat dan potensi diri ke arah membudayakan teknologi maklumat dan komunikasi sebagai medium untuk pengajaran pembelajaran.

“Walaupun kebanyakan sekolah dalam PKG Bujang terletak di kawasan luar bandar, namun minat dan kesungguhan dalam kalangan guru serta pelajar mengaplikasikan program dan mengambil bahagian dalam pertandingan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi sangat tinggi,” katanya.

Menurutnya, majlis itu satu langkah menyahut dan merealisasikan slogan dan hala tuju Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda dan Yan, yang meletakkan gagasan Sinergi Permuafakatan, Mencipta Juara.

Turut diraikan, pasukan guru advokasi yang menjadi jurulatih serta pembimbing dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi kepada semua sekolah peringkat PKG Bujang.

Majlis juga mengumumkan dan menyampaikan anugerah khas kepada ikon PKG Bujang 2017 bagi lima kategori.

Untuk kategori Ikon Pemimpin ICT dimenangi Salfalaili Mat Saad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Merbok (Pusat); Ikon Guru Perpustakaan dan Media dimenangi Nor Asiah Wazi dari Maktab Mahmud Merbok; Ikon Guru Penyelaras ICT dimenangi Nur Izzatie Mohd Zin dari SK Sungai Lalang; Ikon Guru Teknopen diberikan kepada Subaidah Tera dari SK Merbok (Pusat) dan Ikon Admin Frog VLE dimenangi Chew Soo Lee dari SJKC Choong Cheng.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda dan Yan, Mahadhir Ismail dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ahmad Zahir Saad.

Posted in Press Mentions.