GPS BESTARI – SMK CLIFFORD KINI MILIKI VLE

SMK Clifford kini miliki VLE.. Ibu bapa, guru akses berkaitan pendidikan melalui laman sesawang

Amin Nollah (duduk, tengah) dan Mazlienor (berdiri, tengah) bersama guru sempena majlis perasmian Pusat Latihan VLE di SMK Clifford, baru-baru ini.

KUALA LIPIS – Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis telah berjaya menubuhkan Pusat Latihan Persekitaran Pembelajaran Virtual atau Virtual Learning Environment (VLE) Daerah Lipis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini, baru-baru ini.

Pegawai Teknik dan Vokasional PPD Lipis, Mazlienor Daud berkata, Pusat Latihan VLE adalah satu kaedah penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pengurusan pentadbiran yang boleh diakses di sekolah, atau di mana-mana sahaja melalui capaian internet.

Menurutnya, VLE juga boleh dikatakan sebagai School Community Environment yang mana ibu bapa boleh mengakses apa jua hal-hal berkaitan pendidikan di sekolah melalui laman web.

“VLE bertindak sebagai intranet, bilik darjah atas talian dan ruang sosial di sekolah, di bawah satu bumbung.

“VLE adalah sistem pembelajaran berteras laman web yang menyerupai pendidikan dunia realiti dengan menyatukan konsep virtual dalam pendidikan konvensional.

“Sebagai contoh, guru-guru boleh mengajar, menjalankan ujian dan menyemak kerja sekolah secara virtual manakala pelajar boleh menghantar kerja sekolah dan melihat markah melalui VLE,” katanya.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian Pusat Latihan VLE ialah Pegawai Pendidikan Daerah Lipis, Amin Nollah Lateh di SMK Clifford di sini, kelmarin.

Turut serta Pengetua SMK Clifford, Rasidah Kamaluddin.

Mazlienor berkata, ibu bapa juga disarankan menggunakan kemudahan terbabit termasuk untuk berinteraksi dengan guru-guru.

Tambahnya, pihak sekolah turut boleh mengemas kini kalendar aktiviti sekolah dan memaparkan notis melalui internet.

“VLE boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana saja melalui capaian internet,” katanya.

Posted in Press Mentions.