GPS BESTARI – Yayasan YTL sumbang telefon pintar percuma buat pelajar golongan B40

Yayasan YTL sumbang telefon pintar percuma buat pelajar golongan B40

KUALA LUMPUR – Para guru diminta memberi senarai nama pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi membolehkan mereka menerima telefon pintar secara percuma sumbangan Yayasan YTL.

Yayasan YTL dalam satu kenyataan berkata, setiap telefon pintar itu akan dilengkapi dengan kad prabayar YES 4G dan pelan data sebanyak 120GB bagi tempoh setahun.

 

Jelas kenyataan itu, guru-guru boleh mencalonkan nama pelajar yang layak menerima telefon pintar tersebut di www.ytlfoundation.org/learn.

 

“Selepas membuat pendaftaran, para pelajar yang berjaya akan dimaklumkan oleh Yayasan YTL untuk menerima telefon pintar itu.

“Guru-guru merupakan pihak yang terbaik dalam mengenal pasti keluarga ini selain kerap meluangkan masa serta tenaga dengan para pelajar,” katanya pada Selasa.

Dalam kenyataan sama, Yayasan YTL berkata, pemberian telefon pintar secara percuma Yayasan YTL itu merupakan program di bawah Inisiatif Belajar Dari Rumah yang dilancarkan dua minggu lalu.

Tambahnya, Yayasan YTL memahami kesukaran yang dihadapi oleh kebanyakan keluarga B40 di negara ini susulan penularan COVID-19.

“Ada yang terpaksa bertungkus-lumus demi mencari sesuap nasi, namun dalam apa jua cabaran yang dihadapi, YTL Foundation tetap nekad membantu pendidikan generasi muda terutamanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan YTL, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping berkongsi kisah mengenai ibunya yang juga bekas guru yang akan mengadakan kelas tambahan untuk pelajar yang lemah setiap hari selepas waktu persekolahan.

“Bagaimanapun, kelas tambahan tidak akan bermula selagi pelajar tidak diberikan makanan terlebih dahulu kerana mengetahui ramai di antara mereka tidak mampu untuk mendapatkan bekalan makan tengah hari yang baik.

“Justeru, kami percaya guru-guru dapat membantu Yayasan YTL mengenal pasti pelajar yang paling memerlukan untuk menerima tawaran percuma ini,” katanya.

Posted in Press Mentions, Press Mentions.