HARIAN METRO – Kelas maya di Terengganu

TERENGGANU terus melakar kejayaan membanggakan dalam bidang pendidikan apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE) Peringkat Kebangsaan 2018.

 

Anugerah itu diberikan kepada Terengganu susulan kejayaan negeri ini mengungguli penggunaan VLE sebagai satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar apabila mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

 

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan, Datuk Maimunah Suhaibul berkata, pencapaian Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) Terengganu dalam penggunaan VLE meningkat kepada 90.34 peratus tahun lalu berbanding 18.23 peratus pada 2017.

“Prestasi cemerlang Terengganu dalam penggunaan VLE sangat membanggakan dan kementerian menghargai komitmen JPNT dalam merancakkan penggunaan VLE sebagai satu platform pendidikan untuk murid dan pelajar sekolah di negeri ini.

 

“VLE adalah platform dalam talian (online) yang mana guru boleh meletakkan bahan, kreativiti dan inovasi mereka dalam satu platform untuk dikongsi bersama guru, murid dan pelajar,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Apresiasi Guru Advokasi VLE di Kuala Terengganu, hari ini.

 

Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan negeri, Wan Mohd Zuhaidi Wan Hassan dan Pengarah Pemasaran YTL Communications Sdn Bhd, Shahirul Ismail.

 

Sementara itu, penerima Anugerah Guru Ikon VLE Terengganu 2018, Nor Azlina Abdul Muttlib, 41, berkata VLE terbukti memudahkan lagi akses kepada pembelajaran yang lebih berkesan terutama sekiranya terpaksa menghadiri tugasan atau kursus di luar.

 

Guru Sains Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Besar, Dungun itu, berkata walaupun pada awalnya berdepan kesukaran menggunakan VLE dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, ia menjadi lebih mudah apabila guru sudah menguasai tekniknya.

 

“Memang diakui ketika mula didedahkan dengan VLE, ramai guru tidak tahu kaedah sebenar menggunakannya.

 

“Selepas menghadiri kursus, barulah ia jelas dan selepas digunakan ternyata ia sangat memudahkan dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih menarik serta mudah difahami murid dan pelajar,” katanya.

 

Frog VLE diperkenalkan kementerian pada 2011 di bawah Projek 1BestariNet. Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama YTL Communications selaku penyedia Internet 4G tanpa wayar berkelajuan tinggi berserta Frog VLE yang efektif ke semua sekolah di seluruh negara.

Posted in Press Mentions, Press Mentions.