SINAR HARIAN – Kamariah guru ‘luar biasa’, Frog Teachers Award 2019


Kemenangan Kamariah diraikan warga guru dan murid SK Gong Balai, hari ini.

MARANG – Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Balai di sini berjaya melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah ‘Most Exceptional Educator’ tahun ini.

Kamariah Awang, 37, terpilih daripada empat finalis dipilih dari seluruh negara bagi kategori tersebut di Majlis Pelancaran Festival Guru Malaysia 2019 di Spice Arena di Pulau Pinang, semalam.

 

Dianjurkan FrogAsia dengan sokongan Kementerian Pelajaran Malaysia, ia menjadi satu anugerah tahunan dan juga penghargaan untuk para pendidik yang ‘luar biasa’, di seluruh negara.

Dalam pada itu, Kamariah yang juga guru bahasa Inggeris dan Matematik itu berkongsi rahsia kejayaannya ketika ditemui Sinar Harian, di sini hari ini.

 

“Saya hanya insan dan guru biasa sahaja cuma apa yang saya lakukan sehingga berjaya ke tahap ini adalah saya benar-benar mengejar impian saya dan meletakkan keyakinan dalam diri sendiri.

 

“Namun, kejayaan ini adalah milik semua, tanpa semua pihak yang terlibat siapalah saya. Tanpa sokongan juga tiada siapa mengenal saya dan saya mungkin tidak berdiri di sini hari ini,” katanya.

 

Kamariah di Majlis Pelancaran Festival Guru Malaysia 2019 di Spice Arena di Pulau Pinang.
Kamariah di Majlis Pelancaran Festival Guru Malaysia 2019 di Spice Arena di Pulau Pinang.

Selain itu, beliau turut menyifatkan anugerah kali ini memberi seribu makna dan rasa kepada dirinya.

 

Katanya, ini kerana beliau meletakkan minat dan cinta dalam bidang pendidikan sehingga mampu melakukan apa sahaja dimahukan dengan mendapat sokongan semua tanpa sebarang kekangan.

 

“Saya juga menyambut hari lahir 10 Mei lalu. Saya juga merupakan ibu kepada dua cahaya mata. Jadi kemenangan ini ibarat hadiah untuk hari lahir, Hari Ibu dan juga Hari Guru,” katanya.

 

Kata Kamariah, kejayaan juga berkat doa dan sokongan serta galakan daripada suaminya, Mohd Amir Idzham Iberahim, 37, yang sentiasa memahami kerjayanya sebagai seorang pendidik.

 

Anugerah diberikan susulan kejayaan Kamariah menggunakan Penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (VLE) secara kreatif dan inovatif untuk pengajaran dan pembelajaran di SK Gong Balai.

Posted in Press Mentions, Press Mentions.