BERITA HARIAN – Inisiatif pendidikan pacu modal insan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memberi fokus terhadap 26 inisiatif utama pemacuan modal insan dan kecemerlangan pendidikan, termasuk melengkapi lima juta pelajar dengan kemahiran digital Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0) dalam masa lima tahun.

 

Melalui teras keempat manifesto, saiz wajar bilik darjah, mengurangkan beban kerja pentadbiran pendidik dan menyediakan peralatan bantuan mengajar lebih baik, turut diberi tumpuan.

Bersama mandat rakyat yang jelas, bantuan sekali beri RM1,500 disediakan untuk anak penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mendaftar di institusi pengajian tinggi (IPT).

BN juga akan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di sekolah menerusi Program Dwibahasa (DLP) serta Program Imersif Tinggi (HIP), selain memperkenalkan sekolah beraliran Inggeris di Sabah dan Sarawak sebagai projek rintis.

 

Seterusnya, mencerap lebih banyak fakta dan perspektif sejarah dari Sabah serta Sarawak untuk memantapkan sukatan pelajaran Sejarah, selain menubuhkan Institut Kajian Pribumi dan Penduduk Asli di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Universiti Malaysia Sabah (UMS).

 

BN turut menyedari prakarsa atau daya usaha pembangunan modal insan dan pendidikan negara perlu dirangka bersesuaian tuntutan masa serta zaman.

 

Justeru, Malaysia memerlukan pelan holistik dalam membangun potensi anak sekecil lima hingga enam tahun, serta mewibawakan sistem pendidikan rendah dan menengah.

 

BN juga bertekad memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta beriltizam mendaya ekosistem universiti yang dinamik, bersesuaian keperluan Industri 4.0.

 

Komitmen jelas untuk memperkasa strategi modal insan dan pendidikan itu dilihat sebagai penentu masa depan Malaysia.

 

Sehubungan itu, langkah dan inisiatif kerajaan menjadi garis ukur terbaik untuk menilai usaha menyiapsiagakan rakyat menghadapi persaingan kreativiti, daya fikiran serta kemahiran semakin kompetitif.

 

INFO
Pemacuan Modal Insan, Kecemerlangan Pendidikan

  • Memadankan pelajar universiti dengan bakal majikan pada peringkat lebih awal melalui Jawatankuasa Pemadanan Pekerjaan bawah program SL1M 2.0
  • Menaikkan had Insentif Khas Geran Sepadan untuk Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia kepada RM1,000
  • Memperkenalkan kad diskaun khas pelajar bagi mengurangkan kos pengangkutan, perkhidmatan kerajaan dan pembelian barangan keperluan pendidikan
  • Insentif kepada graduan berkebolehan dan pesara guru bahasa untuk menyediakan khidmat pembelajaran dalam talian
  • Memperuntukkan RM12 juta bagi program pendidikan khas masyarakat luar bandar menyasarkan 615,000 peserta
  • Menyediakan peruntukan RM3 juta bagi mengendalikan bengkel ilmu keibubapaan di 168 kawasan dikenal pasti
  • Mentransformasi infrastruktur di universiti awam bagi mencapai tahap kampus bestari dengan pengenalan transaksi tanpa tunai
  • Warganegara memiliki sijil peperiksaan luar negara setara SPM dan STPM dengan kelayakan memasuki IPT di dalam negara, boleh dipertimbangkan mengikuti pengajian mana-mana IPT, dengan syarat ada kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan lulus Sejarah – syarat sama juga diguna pakai dalam isu mengenai Unified Examination Certificate Senior Middle (UEC).
Posted in Press Mentions.