Jika anda rasa revolusi digital telah memberi impak terhadap hidup anda, bayangkan apa yang menanti generasi masa depan apabila mereka memulakan karier setelah tamat persekolahan, kolej atau universiti. Permintaan untuk literasi digital semakin meningkat, oleh itu sekolah perlu dilengkapi dengan kemudahan ICT dan bersedia untuk memupuk pelajar ke arah abad ke-21.

"Saya telah menjadi seorang pendidik selama 15 tahun, dan matlamat saya adalah untuk memupuk generasi pelajar yang mahir dalam ICT dan bersedia untuk revolusi Industri 4.0. Guru yang masih menolak konsep pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 perlu menyedari betapa pentingnya pendedahan, pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi untuk masa depan pelajar," kata Cikgu El Gamillo bin Habibun Tan, penerima Anugerah Khas Frog Teacher Awards 2018.

 

Apa yang mendorong motivasi saya

Cikgu El Gamillo kini berkhidmat sebagai pegawai Bahagian Pendidikan Teknologi Negeri (BTPN) Terengganu. Banyak perkara yang telah berubah sejak 2010 apabila beliau ditugaskan di Terengganu, "Saya masih segar dalam ingatan saya, pada ketika itu guru dan pelajar mempunyai pemahaman yang sangat rendah terhadap teknologi dan sangat memerlukan pendedahan kepada ICT. Saya terpanggil untuk melakukan sesuatu untuk mengubah situasi tersebut, tetapi pada masa itu kemudahan ICT dan akses internet hampir tidak wujud di sekolah."

Pada tahun 2012, VLE Frog telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan sebagai platform yang menggalakkan dan menyokong pendidikan abad ke-21. "Guru dan pelajar tidak memahami apakah itu Frog. Ia bagaikan makluk asing yang muncul secara tiba-tiba di sekolah dan mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengannya,” beliau berkata secara berseloroh. Walau bagaimanapun, beliau bertekad untuk menggunakan VLE Frog untuk melakukan perubahan di Terengganu.

Dengan kesedaran baharu terhadap manfaat VLE Frog, beliau memulakan misinya untuk mendidik guru mengenai cara-cara mengintegrasikan VLE Frog dalam pengajaran dan pembelajaran.

 

Peneraju pendidikan abad ke-21

Cikgu El Gamillo mula menjalankan bengkel untuk memperkenalkan guru-guru kepada VLE Frog dan membawa pendedahan kepada teknologi dalam pendidikan untuk memacu pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 di sekolah. Usaha beliau telah menarik perhatian pihak PPD dan JPN. Sokongan diberikan kepada beliau dengan menggalakkan guru-guru dari sekolah-sekolah di Terengganu untuk menghadiri bengkelnya. Lama-kelamaan, lebih ramai guru memahami kepentingan pendidikan abad ke-21 dan mula menggunakan VLE Frog.

"Pada tahun 2016, Terengganu merupakan negeri ketiga tercorot dalam penggunaan VLE Frog. Tetapi dalam jangka masa setahun, Terengganu telah menjadi salah satu negeri yang paling aktif menggunakan VLE Frog di Malaysia dan mendapat pengiktirafan untuk penggunaan terbaik VLE Frog dalam pengajaran dan pembelajaran," kata CIkgu El Gamillo dengan rasa bangga.

Terengganu juga telah menubuhkan komuniti Advokasi Frog yang aktif, juga dikenali sebagai Terengganu Teacher Advocates (TTA), apabila lebih ramai guru mula mempromosikan VLE Frog dan berkongsi amalan terbaik, merentasi sempadan negeri. Baru-baru ini, JPN Terengganu telah meraikan lebih daripada 160 guru yang merupakan Advokasi Frog, FrogMakers dan Jurulatih KPM atas sumbangan mereka dalam melatih guru-guru untuk mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 di sekolah, dan membina pelajaran interaktif Frog Boost.

Sebagai seorang Advokasi Frog, Cikgu El Gamillo berkongsi, “Pembentukan kumpulan ini telah menyumbang kepada pemantauan yang efektif bagi pihak JPN terhadap penggunaan VLE Frog. Melalui laporan guru-guru Advokasi, kami dapat mengenal pasti sekolah yang sesuai untuk dijadikan sebagai teladan kepada sekolah yang masih memerlukan bimbingan dan sokongan. Kami percaya dengan perkongsian amalan terbaik dan contoh teladan, ia dapat membantu kita berkembang sebagai satu komuniti.

 

Terus maju ke hadapan bersama Frog

Dengan perkembangan Terengganu yang semakin cemerlang dalam pendidikan abad ke-21 melalui Frog, Cikgu El Gamillo memuji sumbangan FrogAsia kepada pendidikan Malaysia, “Melalui pengalaman perkhidmatan saya dengan Kementerian Pendidikan, saya telah melihat bagaimana pelbagai projek pendidikan telah dibentuk dan dilaksanakan, namun kebanyakkannya tidak berkekalan berbanding dengan VLE Frog. Frog bukan sekadar suatu platform sahaja sekarang; ia telah berkembang menjadi sebuah ekosistem."

VLE Frog adalah suatu platform pengajaran dan pembelajaran berasaskan awan yang tersedia untuk lebih 10,000 sekolah kerajaan di seluruh Malaysia sejak tahun 2012.

Tambahan beliau, "Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk memahami konsep VLE Frog dan mengoptimumkannya di sekolah. Tetapi sekarang, kita setanding dengan seluruh dunia! Saya tidak boleh bayangkan jika VLE Frog tidak lagi tersedia. Kita akan ketinggalan, kerana ia akan mengambil masa untuk membiasakan diri dengan perubahan baru, kita akan memakan masa bertahun-tahun juga. Terdapat lebih banyak kelebihan dalam menggunakan VLE Frog berbanding dengan kelemahan. Jika ada keperluan untuk penambahbaikan, kita harus berkerjasama untuk memperbaikinya. Tiada orang yang sempurna, sama seperti tiada sistem yang sempurna. Tetapi seperti mana kita berkembang dan belajar setiap hari, kita juga perlu memperbaiki sistem kita setiap hari."

-

Terima kasih, Cikgu, kerana memberi inspirasi kepada kami dengan semangat dan dedikasi anda! Baca lebih lanjut mengenai Terengganu Teacher Advocates (TTA) yang baru-baru ini terpapar dalam berita: Terengganu Juara VLE 2018, Terengganu Education Dept wins VLE Award

Kami kini berada di pusingan terakhir Frog Teacher Awards. Teruskan bersama kami melalui saluran media sosial FrogAsia untuk pengumuman pemenang! Layari www.frogteacherawards.com untuk maklumat lebih lanjut.